Baca di sini Part 1
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Aku membuntuti Pak Andak menuju ke rumahnya. Langkahnya tenang, sesekali disulami senda gurau tentang hal kampung. Aku lebih banyak mendengar, membiarkan suaranya yang parau lembut itu mengisi ruang sore yang nyaman.
Mataku melingas kiri dan kanan, rumah beratap nipah, anak-anak bermain di batas sawah, sekawan itik beriringan menuju paya dan aku perasan kebanyakan lelaki di sini menyisip keris di pinggang. Semuanya terasa asing, seolah-olah aku sedang menapak di dalam lembaran sejarah yang hidup kembali.
“Singgah dulu, Andak!” jerit satu suara dari sebuah warung beratapkan daun rumbia. Di hadapannya beberapa orang tua sedang menghirup kopi panas, asapnya menari-nari di udara.
Pak Andak menoleh sambil tersenyum, “Lain kalilah, Awang.. aku ada tetamu dari jauh hari ni.”
“Dari jauh ya?” sahut Awang, separuh teruja. “Jauh mana tu, Andak? Dari hulu sungai ke, atau dari pulau seberang?”
Pak Andak ketawa kecil, menepuk bahuku. “Ha.. yang tu rumahku.” Pak Andak menudingkan jarinya ke sebuah rumah yang berbumbung panjang tebar layar.
Dalam kepalaku ligat berfikir, “Kampung bunian mana pula aku sampai ni..”
Rumah Pak Andak yang damai
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Rumah Pak Andak Musa terletak di hujung jalan tanah merah, hampir mencecah kaki hutan yang rimbun. Rumah kayunya berdiri megah di atas tiang tinggi, berdinding papan tebal berwarna kelabu tua, beranda luasnya dihiasi ukiran awan larat yang halus, seolah-olah tangan tukang zaman silam menitipkan doa di setiap lengkung ukiran itu.
Dari situ, mataku memandang jauh ke belakang rumah, sawah menghijau terbentang seperti hamparan sutera, dan di kejauhan, bukit-bukau berbalam dalam kabus petang. Cantik. Ya, terlalu cantik hingga aku terpaku seketika, seolah sedang memandang lukisan yang hidup.
Sebaik melangkah naik ke rumah, seorang perempuan separuh usia menyambutku dengan senyum lembut yang terasa benar keikhlasannya.
“Ini isteriku, Mak Andak Rukiah,” ujar Pak Andak perlahan. “Kita ada tetamu hari ini.”
Mak Andak mengangguk, lalu berlalu ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, beliau muncul kembali dengan sebuah tepak sirih tembaga yang berkilau disinari cahaya petang. Ukirannya halus, bunga timbul dan kerawang berpintal rapi, seakan menyimpan cerita lama yang tidak terucap.
“Makanlah sirih, tanda selamat datang,” katanya lembut sambil menyua tepak sirih berisi cembul ke arahku.
Aku mencapai sehelai daun sirih, secalit kapur, dua piak pinang dan secubit gambir, tangan ini bergerak seolah-olah sudah biasa melakukannya. Semua ramuan itu dilipat-lipat lalu kumasukkan ke dalam mulut. Saat kunyahan pertama, tiba-tiba terlintas wajah arwah nenek, dengan tepak sirihnya yang hampir serupa, yang dulu aku hanya pandang tanpa mengerti maknanya.
Kini, dalam rumah kayu yang asing ini, aku seperti kembali ke pangkuan masa lalu yang tak pernah aku alami, namun entah mengapa terasa sangat dekat di hati.
Bertemu Seri Seroja
Tiba-tiba kedengaran suara lembut memberi salam dari luar rumah. Suara itu bening, seolah-olah datang bersama hembusan angin petang yang menyapa lembut di beranda.
“Assalamualaikum..”
Kami menoleh hampir serentak. Seorang gadis melangkah perlahan melewati tangga rumah, menundukkan wajah dengan sopan. Kain sarung yang diselimpangkan di kepala menutupi hampir separuh wajahnya, namun dari gerak langkahnya yang tertib dan suaranya yang halus, tergambar keperibadian yang santun.
“Kamu dari mana, Seri?” tegur Pak Andak dengan nada lembut seorang ayah yang penuh kasih.
“Dari rumah Mak Ngah, ayah. Tolong Mak Ngah menumbuk padi."
"Mana adik kamu?" Pak Andak bertanya lagi.
"Busu ada di bawah, menghalau ayam masuk ke reban. Seri masuk dulu ya, ayah..” Suaranya jernih dan teratur, bagai alunan dari zaman lain.
Pak Andak tersenyum sambil memandangku sekilas. “Itulah anakku, Seri Seroja namanya.”
Aku mengangguk perlahan, namun dalam hati terasa sesuatu yang aneh, nama itu bergema indah, Seri Seroja - berputar lembut di dalam fikiranku, seolah pernah kudengar di suatu tempat yang tak mampu aku pastikan bila dan di mana.
Seri melangkah masuk ke dalam, dan sesaat kemudian hanya tinggal bayang kain sarungnya yang beralun di pintu. Namun entah mengapa, kehadirannya meninggalkan kesan yang sukar kuungkap, seperti sehelai kenangan yang baru tersentuh oleh waktu.
Tidak lama selepas itu, Mak Andak Rukiah muncul dari dapur membawa dulang tembaga. Di atasnya, dua cawan kopi panas berasap dan sepinggan kuih lepat pisang yang masih hangat berbalut daun. Bau kopi kampung itu menampar lembut deria, harum dan mengasyikkan.
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
“Makanlah, Zahran. Jangan malu-malu,” ujar Mak Andak dengan senyum yang tulus. “Lepat pisang ni Mak Andak buat sendiri, baru kukus tengahari tadi.”
Aku mencapai sepotong lepat itu. Daun pisangnya masih lembap dan panas. Bila dibuka, harumnya seolah memanggil ingatan lama, pada zaman kecil, pada tangan seorang ibu yang juga pandai membungkus kasih dalam sehelai daun.
Seri Seroja melintasi kami untuk ke dapur, sempat menunduk sopan. Sekilas, aku terpandang matanya, teduh, tapi ada sesuatu di situ, sesuatu yang membuat aku tertanya-tanya sama ada aku sedang melihat masa lalu.. atau masa depan.
Bersambung part 3..


