Mr. kurier datang dengan senyum nipisnya, menghulurkan satu bungkusan berat yang dibalut kemas. Saya ucapkan terima kasih, seolah-olah rasa syukur itu tak habis-habis mengalir.
Rupa-rupanya ia adalah parcel, 'hadiah' daripada anak saya yang sedang menuntut di UITM. Bungkusan itu menampakkan isinya. Empat naskhah buku elok terikat berada tangan saya.
Saya menghantar pesanan kepadanya.
"Guna baucer.." terangnya.
“Kenapa tak beli buku untuk pengajian?” saya bertanya sambil membelek bungkusan.
“Untuk belajar guna online.. ebook..” jawabnya, selamba seperti biasa.
Saya tergelak kecil. “Zaman abi dulu senget bahu pikul beg. Zaman kamu, bawa tablet je sekeping..” Dia angguk kepala, senyum di hujung bibirnya menguntum.
Katanya lagi, dia sebenarnya dah beli beberapa novel kesukaannya, rupanya ada lebihan baucer yang kawan hadiahkan. “Dia tak minat membaca. Jadi tak tahu nak beli buku apa..” tambah anak saya.
Saya hanya mengangguk. Diam-diam saya tersentuh. Dalam banyak pilihan, dia pilih untuk mengisi ‘kelebihan’ itu dengan hadiah untuk ayahnya.. hadiah untuk penyakit saya yang paling kronik, sejarah.
Akhirnya empat buku itu kini berada dalam genggaman:
• Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 1
• Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 2
• Misteri Taming Sari
• Pertempuran di Hutan
Semua genre sejarah. Semua yang seakan memanggil nama saya sejak lama. Anakanda saya memang sudah maklum, minat saya terhadap sejarah ini bukan sekadar hobi, tapi satu ketagihan yang sudah sebati dengan darah dan tulang.
Saya menatap keempat-empat buku itu. Entah kenapa, hati saya terasa penuh. Bukan kerana judulnya yang menarik, tetapi kerana fahamnya dia akan jiwa seorang ayah yang selalu tenggelam dalam kisah bangsa sendiri.
Kadang-kadang, hadiah bukan sekadar barang. Ia adalah petanda bahawa seseorang memahami kita lebih dalam daripada kata-kata.
Dan hari ini, saya menerima bukan empat buku, tapi empat rasa kasih dalam bentuk yang paling sunyi dan indah.
