Mempatin di Sungei Pahang

“Sikitnya..” tegur Ustaz Alif apabila melihat nasi di dalam pinggan saya. 

“Haa.. separuh senduk saja. Tapi patin dua ketul, kuah penuh semangkuk,” jawab saya sambil tersenyum. 

“Tengah diet tu..” celah Ustaz Hairul yang duduk di sebelah. Kami sama-sama ketawa. 

Begitulah sedikit warna dalam pertemuan dwi-bulanan kami di Rumah Rakit Amal. Sederhana saja suasananya, tetapi selalu ada cerita, ada gelak tawa dan ada rasa kebersamaan yang sukar hendak digambarkan. 

Menu hari itu memang menggoda, gulai masam ikan patin, bersama beberapa lauk lain. Seperiuk besar ikan patin menanti untuk dihabiskan. 

Dan dalam kalangan kami, ada satu hukum tidak bertulis..

Kalau tak habis, wajib bungkus bawa balik. 😄 

Jangan ditinggalkan begitu sahaja. Bukan kerana takut membazir semata-mata, tetapi memang tiada siapa yang akan datang menghabiskannya. Jadi, daripada tinggal begitu saja, lebih baik bawa pulang. Rezeki jangan disia-siakan. 

Selesai makan, kami masuk pula kepada agenda perbincangan. 

`Menikmati suasana damai, bukit yang berbalam-balam diserkup gelap malam dan arus lesu Sungai Pahang`

Beberapa program dipersetujui untuk dilaksanakan. Antaranya Ziarah Mahabbah ke Kampung Orang Asli (KOA). Yang ini, terus terang saya katakan, memang saya nantikan. 

Masuk hutan lagi nampaknya! 

Entah kenapa, perjalanan ke pedalaman selalu meninggalkan rasa yang berbeza. Jalan yang panjang, kampung yang jauh, suasana hutan, bertemu masyarakat yang mungkin jarang kita temui… semuanya ada cerita tersendiri. Dan bagi saya, di situlah selalunya hati belajar sesuatu yang tidak boleh diajar hanya melalui kata-kata. 

Satu lagi program yang dipersetujui ialah ziarah ke Tadika Amal Kunak, Tawau, tadika yang kami uruskan untuk anak-anak keturunan Sulu mendapatkan pendidikan. 

Insya-Allah, saya akan cuba sertai kedua-dua program ini. 

Mungkin nanti ada lagi perjalanan panjang. Ada lagi jalan yang berliku. Ada lagi hutan yang perlu ditembusi. Dan mungkin juga, ada lagi seperiuk patin yang perlu dihabiskan. 😄

Begitulah kehidupan dalam kerja-kerja amal. 

Kadang-kadang ia bermula dengan separuh senduk nasi, dua ketul patin dan semangkuk kuah. 

Tetapi daripada pertemuan kecil seperti itulah, lahir perancangan untuk sebuah perjalanan yang mungkin membawa kita lebih dekat kepada manusia, lebih dekat kepada kehidupan mereka.. dan mudah-mudahan, lebih dekat juga kepada-Nya.

Subscribe to receive free email updates: