8 Panduan Kawal Emosi Ketika Memandu Di Musim Perayaan

8 Panduan Kawal Emosi Ketika Memandu Di Musim Perayaan|KITA sekarang berada di penghujung bulan Ramadhan semakin dan Syawal bakal tiba dan diraikan. Seperti kebiasaannya apabila tibanya musim perayaan Aidilfitri, warga di kota dan bandar akan berpusu-pusu pulang ke desa kampung halaman masing-masing. Menjadi kelaziman juga, jumlah kenderaan di jalan raya akan membuatkan bertambah sesak dan padat trafik terutama sehari dua sebelum Hari Raya.

8 Panduan Kawal Emosi Ketika Memandu Di Musim Perayaan

Sudah menjadi lumrah juga apabila setiap kali tibanya musim perayaan kita akan disajikan berita-berita kemalangan jalan raya yang tragis serta menyayat hati. Fenomena ini membimbangkan dan seringkali bermain dalam fikiran kita semua: adakah jalan raya di negara ini masih selamat digunakan terutamanya pada musim perayaan?

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyatakan sepanjang tahun 2016 sebanyak 82 peratus kemalangan maut berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Menurut Miros lagi, kebanyakan kemalangan yang berlaku bukan disebabkan keadaan jalan raya, sebaliknya berpunca daripada sikap dan emosi pemandu sekaligus mempengaruhi gaya pemanduan.

Antaranya, sikap tidak sabar pemandu yang ingin cepat sampai ke destinasi. Sikap tidak sabar dan memandu secara emosional boleh mendatangkan pelbagai keburukan.

Kesesakan jalan raya yang berlaku juga dilihat boleh membangkitkan perasaan marah dan stres sekiranya tidak ditangani dengan betul. Sebagai pengguna jalan raya kita perlu bijak mengawal emosi dan merancang perjalanan lebih awal.

8 Panduan Kawal Emosi Ketika Memandu Di Musim Perayaan

Berikut dikongsikan panduan untuk kawal emosi anda ketika memandu di musim perayaan:

1. Rancang perjalanan anda dan cuba cari jalan/laluan alternatif yang tidak sesak untuk sampai ke destinasi. Pemanduan yang lancar akan membantu mengurangkan tekanan emosi.

2. Pastikan badan anda mendapat rehat secukupnya. Lebih-lebih lagi selepas berbuka puasa. Mulakan perjalanan apabila tubuh berasa segar dan bersedia memandu.

3. Jangan memandu jika letih dan mengantuk. Apabila berasa penat memandu, sila berhenti dan keluar dari kereta. Lakukan senaman ringan untuk menyegarkan badan.

4. Sentiasa berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R). Jika perlu dapatkan secawan kopi atau teh tarik. Pastinya ia membuatkan anda lebih segar. Lakukan sedikit senaman dan regangan otot untuk hilangkan mengantuk.

5. Bagi perjalanan jarak jauh, gunakan masa yang ada untuk berborak/berbual dengan keluarga terutamanya dengan anak-anak. Jadikan memandu itu satu aktiviti yang menyeronokkan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.

6. Patuhi Jadual Pemanduan yang telah dikeluarkan oleh pengendali lebuhraya bagi mengelakkan kesesakan dan patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

7. Sentiasalah ingat insan atau ahli keluarga tersayang seperti ibu-bapa setiap kali kita memandu terutama ketika musim perayaan.

8. Tanam dan pupuk sifat kesabaran dan toleransi antara satu sama lain kita agar menjadi contoh kepada orang lain terutamanya di kalangan kanak-kanak. Pemanduan yang agresif dan berbahaya turut akan memberikan kesan psikologi yang tidak baik kepada anak-anak.

Ingat, apabila kita berada di jalan raya, kita semua sama sahaja tanpa mengira status mahupun kedudukan. Kita semua memandu dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk sampai ke destinasi dengan selamat. Biar lambat asalkan selamat!

Subscribe to receive free email updates: