Siapa yang tidak kenal dengan nama Zailiani Taslim? (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya)
Bagi generasi yang membesar dalam dekad 80-an dan 90-an, nama ini bukan sekadar sebaris tulisan pada kulit buku, tetapi sebuah kenangan yang hidup, yang pernah singgah dalam hari-hari muda yang sederhana.
Beliau hadir sebagai sosok yang banyak menabur bakti dalam dunia kesusasteraan tanah air, khususnya melalui novel-novel remaja yang sarat dengan imaginasi dan nilai.
Karya-karyanya merentasi pelbagai genre - daripada fiksyen sains yang mengajak kita berfikir di luar batas, kepada sejarah yang menghidupkan semula kisah silam, hinggalah kepada cerita kemasyarakatan yang dekat dengan denyut nadi kehidupan.
Hari ini, saya kembali menekuni salah satu naskhahnya yang sekian lama diam tersimpan, namun tidak pernah benar-benar hilang dari ingatan. Pada helaian-helaian yang sudah dimamah usia itu, masih terperangkap harum kenangan, seolah-olah masa lalu perlahan-lahan bernafas semula di hujung jari.
Titisan Darah.. karya Zailiani Taslim, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1987. Tidak tebal, cuma 178 muka surat, tetapi beratnya terasa di dada.
Kisah Awang Saga dan rakan-rakan, jiwa-jiwa merdeka yang bangkit melawan penjajah. Kecekalan mereka bukan sekadar cerita.. ia adalah luka, adalah pengorbanan, adalah darah yang benar-benar menitis demi tanah yang mereka cintai.
Pejuang seperti Awang Saga banyak sekali berkorban demi kesejahteraan dan keamanan desanya, juga mengelakkan api persengketaan yang akan menjejaskan perpaduan. Dia sanggup menerima perlantikan Daim sebagai penghulu sedangkan dia adalah pewaris yang berhak. Dia juga difitnah sebagai pembelot..
Setiap kali membaca kisah perjuangan seperti ini, ada satu perkara yang tidak pernah berubah, pengakhirannya hampir selalu diselubungi duka. Seolah-olah sejarah sendiri berbisik, kemerdekaan itu mahal, dan harga yang dibayar bukan sedikit.
Dan entah kenapa.. setiap kali sampai ke halaman terakhir, hati terasa sepi. Bukan kerana kisah itu berakhir.. tetapi kerana kita sedar, ada pejuang yang tidak sempat melihat fajar kebebasan yang mereka perjuangkan dengan seluruh jiwa.
Zailiani Taslim (26 April 1959 - 03 Februari 2016)
