![]() |
| `Naskhah ke 3 milik saya penulisan berkaitan P. Ramlee` |
Akhirnya, sebuah naskhah yang dinanti telah selamat sampai ke tangan. “Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee”, yang dibeli secara atas talian melalui kedai DBPNiaga, sudah pun mendarat di rumah. Seperti biasa, ucapan terima kasih buat bradar kurir yang telah mengirimkannya hingga ke depan pagar dengan selamat. Jasamu ku kenang! π
Beberapa naskhah yang lain masih dalam perjalanan. Mungkin esok, mungkin lusa, satu demi satu akan mendarat pula. Begitulah seronoknya menanti buku. Ada debar kecil setiap kali terdengar bunyi kenderaan berhenti di hadapan rumah. Seolah-olah ada sahabat lama yang sedang mengetuk pintu.
Naskhah ini ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain (ketika itu belum SN), setebal 279 halaman dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang membuatkan saya lebih teruja ialah kedudukan penulisnya yang bukan sekadar menulis tentang P. Ramlee dari jauh.
SN Abdullah Hussain pernah bergaul rapat dengan P. Ramlee selama kira-kira sepuluh tahun, dari 1951 hingga 1961, malah kemudiannya bekerja di bawah penerbitan P. Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem.
Justeru, naskhah ini terasa lebih dekat dengan sumber asalnya. Ia bukan semata-mata cerita yang dipungut daripada khabar orang, tetapi datang daripada seseorang yang pernah duduk dekat, mengenali dan menyaksikan sendiri sebahagian perjalanan hidup Seniman Agung itu.
Dalam prakata, Abdullah Hussain menyebut bahawa bahan tentang kehidupan P. Ramlee bukan mudah diperoleh. P. Ramlee sendiri dikatakan tidak begitu gemar ditemu bual oleh wartawan tentang kisah hidupnya.
Maka, cerita-cerita itu dikumpulkan sedikit demi sedikit,daripada percakapannya sendiri, daripada cerita yang terlepas tanpa ditanya ketika suasana hatinya baik, dan daripada sahabat-sahabat rapat yang sentiasa berada di sisinya. (halaman Sekadar Salam m/s v)
Dan di situlah barangkali letaknya nilai naskhah ini. Ada cerita yang tidak tertulis dalam temu bual. Ada kisah yang hanya terbit daripada percakapan bersahaja. Ada kenangan yang keluar tanpa dirancang, ketika seseorang sedang mengenang masa lalu.
Kadangkala, cerita yang demikianlah yang paling jujur. Saya percaya, apabila seorang penulis begitu dekat dengan subjek yang ditulisnya, tentu ada sisi-sisi manusiawi yang lebih mudah terlihat.
Bukan sekadar P. Ramlee sebagai bintang besar di layar perak, tetapi juga sebagai seorang manusia dengan suka dukanya, ketawa dan dukanya, impian dan kesunyian yang mungkin tidak pernah terlihat oleh jutaan mata yang memandangnya dari jauh.
Kini naskhah ini sudah ada di tangan. Tinggal menunggu masa untuk dibuka dan diselak halaman demi halaman. Selebihnya, biarlah cerita-cerita lama itu membawa saya perlahan-lahan mengenali sosok Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dari sisi yang mungkin belum pernah saya kenali.
Jom kita baca.. mana tahu, ada cerita lama yang mampu membuat kita tersenyum, dan mungkin juga terdiam seketika. π
